Subhanallah

Jumaat, 11 Januari 2013

AMRAD` LELAKI CANTIK ?





Remaja : ustaz, apakah yang dimaksudkan dengan amrad` ?
Ustaz : amrad’ diambil daripada perkataan bahasa arab yang bermaksud bersih kedua-dua pipinya daripada bulu. Dari segi istilah pula, amrad’ bermaksud seseorang lelaki yang belum tumbuh janggutnya walaupun telah nampak bibit misainya. Secara mudahnya, amrad’ ialah seorang lelaki yang mempunyai wajah yang `cantik` dan boleh menarik perhatian sama ada lelaki mahupun wanita. Hal ini berbeza mengikut `uruf individu, susana dan situasi tempat masing-masing.

Remaja : apakah hukum melihat amrad` dan duduk bersendirinya dengannya ?
Ustaz : mazhab Hanafi dan Syafi`i menetapkan, sekiranya wajah lelaki amrad` tersebut tidak menarik perhatian tidaklah sampai membawa kepada fitnah, maka hukumya sama dengan lelaki biasa iaitu harus dan tiada halangan untuk melihatnya. Begitu juga, harus hukumnya segala muamalah yang berkaitan sesama lelaki. Walau bagaimanapun, sekiranya lelaki  amrad`  tersebut memiliki wajah yang menarik dan boleh membawa kepada fitnah, maka perlu dilihat kepada dua keadaan :

1)   Sekiranya melihat dan bersendirian dengannya tanpa niat untuk menikmati dan berseronok dengannya serta aman daripada fitnah, maka hukumnya adalah harus.
2)   Sekiranya melihat dan bersendirian dengannya dengan niat untuk menikmati keelokan wajahnya, merasai keseronokan melihatnya, maka hukumnya adalah haram.

Remaja : bolehkah berjabat tangan dengan amrad` ?
Ustaz : jumhur ulama berpendapat, berjabat tangan dan menyentuh amrad` dengan syahwat hukumnya haram. Sudah boleh difahami, hukum melihatnya dengan syahwat pun sudah diharamkan, inikan pula bersentuhan dengannya yang lebih dekat membawa kepada fitnah dan syahwat. Adapun jika bukan untuk berseronok, tetapi dikhuatiri timbul syahwat, maka makruh berjabat tangan dan menyentuhnya.


Remaja : apakah hukum amrad` menjadi imam ?
Ustaz : jumhur  fuqaha` mazhab Hanafi, Syafi`i dan Hanbali menyatakan makruh untuk solat di belakang amrad` kerana dia boleh membawa kepada fitnah. Namun, harus difahami bahawa solat di belakangnya sah. Tetapi, sekiranya ada orang lain yang boleh menjadi imam, maka terlebih utama untuk dia menjadi imam.

Remaja : adakah batal wudhuk menyentuh amrad` ?
Ustaz : pendapat yang masyhur dalam kalangan ulama mazhab Syafi`i dan Hanbali menyatakan bahawa menyentuh amrad` tidak membatalkan wudhuk. Berbeza pula dengan pandangan para ulama Maliki yang mengatakan batal wudhuk apabila menyentuh dengan syahwat.



Remaja : bolehkah ustaz berikan beberapa panduan ketika berurusan dengan amrad` ?
Ustaz : Allah Ta`ala menurunkan peringatan-Nya yang bermaksud : “ katakanlah kepada golongan lelaki beriman, hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya  Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. “ (surah an-Nur 24 : 30 ). Ketika menafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir tidak mengkhususkan `menundukkan pandangan` hanya kepada wanita. Beliau menyebutkan pandangan sebahagian besar para ulama alaf yang melarang memandang ke arah amrad`. Apa yang dapat kita fahami, para ulama terdahulu telah mengesan betapa bahayanya fitnah yang boleh timbul disebabkan amrad` dan kadang-kadang lebih bahaya daripada fitnah wanita. Justeru, pemuda pemudi di luar sana hendaklah menundukkan pandangan dan menjaga hati tatkala bersama dengan golongan sebegini. Ketika ingin berurusan dengan amrad` , lakukan  sekadar keperluan sahaja dengan syarat selamat dan terpelihara hati dan anggota badan ketika berurusan. Lakukan secara beradab dan tidak mengambil kesempatan terhadap mereka. wAllahu a`lam.   J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan