Subhanallah

Selasa, 27 Mac 2012

Awas !

Apabila kita merasakan diri kita adalah seorang yang alim...ketahuilah ada orang yang lebih alim daripada kita
Apabila kita merasakan diri kita kuat ibadah...ketahuilah ada orang lebih kuat ibadah daripada kita

#Jadilah diri kita yang sentiasa merasakan kekurangan ilmu dan ibadah supaya terhindar daripada ujub (takjub/hairan terhadap diri sendiri)#

Isnin, 12 Mac 2012

Dengki Dan Irihati Biarlah Pada Tempatnya

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain.
(Riwayat al-Bukhari)

Huraian Hadith: 
1. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan Sahaja.
2. Islam tidak membenarkan orang yang mengeluarkan hukum tanpa terlebih dahulu merujuk kepada al-Quran dan Hadith, sebaliknya melayani tekanan hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri semata-mata.
3. Islam melarang umatnya berperasaan cemburu buta dan iri hati terhadap sesama manusia melainkan didalam dua perkara:
i) Merasa iri hati terhadap orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya serta mengajarkannya pula kepada orang lain.
ii) Orang yang dikurniakan harta dan membelanjakan hartanya itu dijalan yang diredhai oleh Allah.

Sabtu, 10 Mac 2012

SEDIKIT tapi BERTERUSAN

Abi Shalih bertanya kepada Aisyah dan Ummu Salamah:
Amal ibadah apakah yang paling disukai oleh Rasulullah? Aisyah dan Ummu Salamah menjawab, "Amal ibadah yang dilakukan berterusan meskipun sedikit."
(riwayat at-Tirmizi)




Kita digalakkan tamak dalam mengerjakan ibadah kepada Allah SWT, tetapi jangan sesekali tamakkan dunia.Walau bagaimanapun, sebaik-baik amal ibadah adalah berterusan.Berdasarkan pada hadis di atas menunjukkan bahawa walaupun amal ibadah itu sedikit tetapi ia berterusan maka ia dinilai sebagai sebaik-baik amal ibadah.
Tidak dinafikan bahawa kita manusia yang lemah dan keimanan kita kadang-kadang bertambah, kadang-kadang berkurang.Oleh itu marilah lakukan amal ibadah yang berterusan. Bagaimana?...Semuanya bermula daripada sedikit-sedikit.
Sebagai contoh, kita taklif (tanggungjawabkan) ke atas diri kita membaca al-Quran 1 mukasurat sehari.Amalan ini amat ringan dan tidak memerlukan daya yang banyak.Oleh itu, ia sebagai pemfaktor untuk melakukannya tiap-tiap hari atas alasan amalan ini senang dan ringan.Berbanding jika kita membaca al-Quran pada hari pertama 100 muka surat, tetapi ianya berkekalan hanya 2 hari sahaja dan kita tidak melakukannya sehingga tahun depan.Ini bermakna kita telah meninggalkan al-Quran dalam jangka masa yang lama atas alasan malas untuk melakukan amalan yang berat dan banyak.
Oleh itu , jadikan hadis di atas sebagai panduan dan pengajaran kepada kita.Biarlah kita melakukan amal yang SEDIKIT tapi BERTERUSAN. Berbanding dengan Rasulullah sollallahu a`laihi wasallam , baginda melakukan amal ibadah yang BANYAK tapi BERTERUSAN.


JADIKAN NABI SEBAGAI CONTOH YANG TERBAIK 

Jumaat, 9 Mac 2012

Sikap Pemaaf dan Lemah-Lembut Rasulullah: Pemangkin Ke arah Kecemerlangan Dakwah Islam



Oleh: Mohd Sukki Othman (Ust Shauqi)
Sikap pemaaf dan lemah-lembut (bersopan-santun) merupakan satu sikap yang amat luhur dan murni serta memberikan banyak kebaikan. Tiada ruginya memaafkan kesalahan orang lain walaupun nyata mereka bersalah. Namun, apabila seseorang itu mempunyai hati yang keras dan penuh dendam, maka amat sukar sekali untuk memaafkan orang lain. Contoh pemaaf dan lemah-lembut yang dipamerkan oleh Rasulullah saw merupakan suatu sifat yang sepatutnya dicontohi oleh setiap generasi umat Islam.
Melatih diri untuk memiliki akhlak seumpama ini dapat dimulai dengan menahan diri ketika marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak. Ini kerana setiap manusia tidak pernah terpisah daripada masalah dalam hidup, jika ia tidak membekalkan dirinya dengan akhlak ini, nescaya ia akan gagal untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi. Hebatnya sifat lemah-lembut dapat dilihat melalui pujian Rasulullah terhadap sahabatnya Asyaj Abdul Qais dengan sabdanya: "Sesungguhnya pada dirimu ada dua perangai yang dicintai Allah iaitu sifat lemah lembut (sabar) dan ketenangan (tidak tergesa-gesa)." (Hadis Riwayat Muslim).
Antara akhlak Rasulullah s.a.w. yang hebat ialah sifatnya yang lemah-lembut dan pemaaf. Selain daripada menunjukkan keperibadian mulia dan kesopanan seseorang, sifat lemah-lembut dan pemaaf juga sebenarnya dapat melunakkan hati yang keras, juga boleh menundukkan manusia yang kasar dan akhirnya menimbulkan rasa hormat pada diri. Sifat lemah-lembut dan pemaaf juga boleh menunjukkan dan menyatakan pendirian yang tegas demi menegakkan kebenaran tetapi pada masa yang sama tidak bertolak ansur terhadap kemungkaran dan kekufuran. Allah swt telah mengajar baginda Rasulullah untuk bersikap pemaaf dan berlembut semasa berurusan dengan orang lain. Firman Allah dalam Surah Ali 'Imran ayat 159 bermaksud:
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakkal kepadaNya".
Rasulullah saw bersifat lemah-lembut dalam pertuturan, pergaulan dan tindakan. Sifat mulia yang dipamerkan oleh Rasulullah ini menyebabkan ramai golongan musyrikin tertarik kepada ajaran Islam. Orang yang berhati keras dan menentang dakwah berubah menjadi seorang yang beriman dan cinta kepada Allah dan RasulNya setelah mengenali peribadi luhur junjungan nabi Muhammad saw ini.
Pernah suatu ketika, seorang musyrik telah menghunuskan pedangnya kepada Rasulullah seraya bertanya, 'siapakah yang dapat melindungi engkau daripada aku membunuhmu sekarang?'. Lalu jawab Rasulullah, 'Allah yang melindungi aku daripada sebarang tindakan jahat engkau'. Setelah mendengar jawapan Rasulullah itu, pedang yang berada pada tangan lelaki tersebut tiba-tiba terjatuh menyebabkan lelaki tersebut tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa. Lantas Rasulullah mengambil pedang itu, seraya bertanya: 'siapakah pula yang akan melindungi engkau?'. Lelaki itu sambil terketar-ketar menjawab, 'kemaafanmulah sahaja yang dapat melindungiku'. Setelah Rasulullah memaafkan perbuatan lelaki itu dan melayannya dengan baik, maka lelaki tersebut begitu tertarik dengan dengan sikap pemaaf dan akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah, lantas memeluk Islam.
Rasulullah saw selalu memaafkan kesalahan yang dilakukan terhadap baginda. Nabi Muhammad saw tidak pernah menyimpan perasaan dendam kepada orang lain walaupun terhadap musuh yang sentiasa menghalang dakwah baginda. Sebaliknya, baginda sentiasa berdoa agar mereka dikurniakan hidayah untuk menerima ajaran Islam yang suci murni. Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 199, bermaksud: 'Jadilah engkau pemaaf dan serulah (manusia) mengerjakan yang makruf (baik) dan berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.' Ketika turun ayat tersebut, Rasulullah saw bertanya kepada Malaikat Jibril. ''Apakah maksud ayat ini, wahai Jibril?'' Jibril menjawab, ''Sesungguhnya Allah menyuruhmu memaafkan orang yang telah menzalimimu, dan bersilaturahim kepada orang yang memutuskan hubungan denganmu".
Ketika golongan Thaqif di Ta’if menolak mentah-mentah dakwah dan seruan nabi kepada Islam, baginda tetap bersabar dan menadah tangan berdoa pada Allah: ‘Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu keda’ifan tenagaku…..' (Rujuk Fiqh al-Sirah, oleh Syeikh Dr Said Ramadhan al-Buti). Dalam pada itu, Rasulullah saw juga berdoa agar generasi mereka menerima hidayah Islam dengan sabda baginda: ‘Bahkan apa yang aku mahu ialah moga Allah mengeluarkan daripada sulbi mereka (anak cucu mereka) golongan yang mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu’. (Sila rujuk kitab Muhammad al-Insan al-Kamil, oleh al-Sayyid Muhammad Bin al-Sayyid ‘Alawi al-Maliki).
Pada hari pembukaan Kota Makkah, Abu Sufyan memeluk Islam bersama isterinya Hindun Binti 'Utbah. Walaupun pasangan suami isteri ini pernah menjadi penentang dakwah Islam dengan begitu kuat, namun Rasulullah saw menerima keIslaman mereka serta memaafkan perbuatan mereka bersama orang Quraisy yang lain. Rasulullah saw telah mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai kepada musyrikin Makkah yang pernah memusuhi baginda.Rasulullah saw berkata pada hari pembukaan kota Makkah: 'Apakah yang kamu sangka aku akan lakukan terhadap kamu sekarang ini?'. Mereka menjawab, 'kami bersangka baik terhadap tuan, engkau orang yang mulia dan putera kepada orang yang mulia'. Lalu Rasulullah saw bersabda:"Pergilah…kamu semua dibebaskan!".
Rasulullah saw juga telah memaafkan Hubur bin Aswad, seorang yang terkenal memusuhi Islam dan banyak menyakiti hati kaum Muslimin. Bahkan dia juga pernah menyakiti puteri Rasulullah saw yang bernama Zainab iaitu apabila unta yang dinaiki oleh Zainab dalam perjalanan ke Madinah telah dipanah oleh Hubur sehingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati. Zainab yang pada ketika itu sedang mengandung terhumban dari atas unta menyebabkannya keguguran. Namun setelah itu, iaitu pada peristiwa pembukaan kota Makkah, Rasulullah memaafkan Hubur apabila beliau menemui Rasulullah untuk memohon maaf daripada baginda dan seterusnya menjadi pengikut agama Islam. Begitulah hebatnya akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah saw.
Firman Allah swt dalam Surah al-Syura ayat 43 maksudnya : "Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)".
Firman Allah lagi dalam surah Ali 'Imran ayat 133-134 bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orangyang bertaqwa; Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".

Abu Hurairah



Oleh: Ustaz Shauqi
Abu Hurairah ialah tokoh perawi hadis yang terkenal. Beliau merupakan penghafal hadis yang terulung dalam kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. Semenjak memeluk Islam, beliau sangat akrab dengan Rasulullah s.a.w. Beliau banyak mengikuti aktiviti dakwah Rasululah s.a.w. Beliau juga dikurniai Allah dengan daya ingatan yang kuat. Oleh sebab itu, beliau dapat meriwayatkan banyak hadis daripada Rasulullah s.a.w. Beliau berasal daripada kabilah al-Dusi, iaitu satu suku kaum yang tinggal di Yaman. Beliau merupakan anak yatim yang tinggal bersama ibunya sahaja semenjak kecil.
Abu Hurairah memeluk Islam melalui Tufail bin Amru, iaitu ketua kaum al-Dusi. Apabila Tufail bin Amru memeluk Islam, beliau telah menyeru kaumnya supaya memeluk agama suci itu. Abu Hurairah merupakan antara orang yang mula-mula menerima seruan Tufail untuk memeluk agama Islam. Pada tahun ke-7 Hijrah, Abu Hurairah telah pergi ke Madinah bersama-sama dengan Tufail bin Amru. Beliau menemui Rasulullah s.a.w. untuk menyatakan keislamannya. Semenjak bertemu dengan Rasulullah s.a.w., Abu Hurairah menjadi sangat rapat dengan baginda. Beliau tinggal di pondok masjid Nabi dan sentiasa mengikut kegiatan dakwah baginda.
Ketika dilahirkan, Abu Hurairah diberi nama Abdul Syams yang bermaksud ‘Hamba Matahari’. Beliau diberi nama itu kerana suku kaumnya merupakan penyembah matahari sebelum memeluk Islam. Apabila bertemu Rasulullah s.a.w., baginda telah menukar nama Abu Hurairah kepada Abdul Rahman bin Sakhr. Walau bagaimanapun, beliau lebih terkenal dengan gelaran Abu Hurairah. Beliau mendapat gelaran sebagai Abu Hurairah kerana beliau amat sayang kepada kucing. Pernah diriwayatkan pada suatu masa Rasulullah ternampak ada sesuatu di dalam lengan baju beliau, lalu Rasulullah bertanya kepadanya. Apabila ia menunjukkan terdapat anak kucing di dalam lengan bajunya, sejak itulah beliau digelar Abu Hurairah yang bermaksud "bapa segala kucing" (Sila rujuk http://ms.wikipedia. org/wiki/Abu_Hurairah).
Apabila Abu Hurairah memeluk agama Islam, ibunya masih tetap dengan kepercayaan lamanya. Dia enggan mengikut Abu Hurairah memeluk agama Islam. Disebabkan terlalu sayang akan ibunya, Abu Hurairah berusaha menyeru ibunya supaya memeluk Islam. Pada mulanya, ibu Abu Hurairah enggan memeluk Islam. Malah dia mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap Rasulullah s.a.w. apabila Abu Hurairah cuba mengajaknya memeluk Islam. Hal itu menyebabkan Abu Hurairah sangat dukacita. Beliau telah mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. dan meminta baginda berdoa agar hati ibunya terbuka untuk menerima Islam. Rasulullah s.a.w. telah memenuhi permintaan Abu Hurairah itu. Baginda berdoa kepada Allah s.w.t agar diberi petunjuk kepada Abu Hurairah. Berkat doa baginda, ibu Abu Hurairah akhirnya telah memeluk agama Islam.
Satu daripada keistimewaan Abu Hurairah ialah daya ingatannya yang sangat kuat. Oleh sebab itu, beliau dapat meriwayatkan banyak hadis Rasulullah s.a.w. Beliau juga amat minat dan rajin menghadiri majlis-majlis ilmu bersama Rasulullah. Walaupun beliau seorang yang miskin, namun, kemiskianannya itu tidak menghalang beliau untuk berusaha sedaya-upaya menimba ilmu pengetahuan. Pernah suatu ketika, khalifah Marwan bin al-Hakam cuba menguji daya ingatan Abu Hurairah. Beliau telah mengundang Abu Hurairah ke satu majlisnya. Apabila Abu Hurairah tiba, Marwan meminta beliau membacakan beberapa hadis. Seorang jurutulis Marwan mencatatkan hadis itu tanpa pengetahuan Abu Hurairah. Pada tahun berikutnya, sekali lagi khalifah Marwan mengundang Abu Hurairah ke majlisnya. Apabila Abu Hurairah tiba, beliau diminta menyebut semula hadis-hadis yang diucapkannya dahulu. Abu Hurairah pun membacakan semula hadis-hadis itu tanpa satu kesalahan pun. Peristiwa ini menunjukkan keistimewaan daya ingatan Abu Hurairah. Bahkan Imam Syafie juga mengakui tentang kekuatan daya hafalan Abu Hurairah. Oleh sebab itu, hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau tidak diragui.
Beliau banyak memberi sumbangan terhadap Islam. Disebabkan akrabnya beliau dengan Rasulullah, beliau dikatakan meriwayatkan sebanyak 5,374 hadith. Hadith beliau yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 Hadith, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadith. Dan oleh Muslim sebanyak 189 Hadith.
Pada zaman Rasulullah, beliau pernah diutus oleh baginda untuk berdakwah ke Bahrain bersama Al-Ala ibn Abdillah al-Hadrami. Disamping itu, beliau pernah diutus bersama Qudamah untuk mengutip jizyah di Bahrain. Tidak lama kemudian, beliau dilantik menjadi Gabenor Bahrain.
Pada zaman Umar al-Khattab, beliau pernah dipecat kerana dituduh menyimpan wang sebanyak 10,000 dirham. Tetapi apabila dibicarakan, beliau berjaya membuktikan bahawa duit tersebut adalah hasil dari memelihara kuda dan pemberian orang. Khalifah Umar menerima pejelasan tersebut dan meminta beliau kembali sebagai Gabenor, namun beliau menolak.
Pada zaman Khalifah Uthman, sewaktu berlaku fitnah terbesar kepada khalifah, Abu Hurairah dan 700 orang Muhajirin dan Ansar tampil mengawal rumah khalifah. Namun, tindakan mereka untuk berperang dilarang oleh Khalifah Uthman.
Pada zaman Khalifah Ali pula, Abu Hurairah pernah menolak tawaran untuk menjadi Gabenor Madinah. Apabila terjadi pertempuran antara Muawiyah dan Ali, beliau mengambil sikap berkecuali dan menghindari fitnah.
Beliau meninggal dunia pada 57 atau 58H ketika berumur 78 tahun. Kehilangan beliau dalam dunia Islam ibarat kehilangan suatu permata yang amat berharga.

Khamis, 8 Mac 2012

April fool...!!!!

April Fool
Biasanya apabila datang 1 April maka remaja Islam terikut-ikut dengan budaya barat yang menjadikan tarikh ini sebagai hari untuk 'memperbodohkan' atau 'mengenakan' orang lain. Telah dikatakan bahawa sejarah 'April Fool' merujuk kepada Tentera Kristian di Sepanyol yang berjaya menipu dan membunuh umat Islam secara beramai-ramai di Sepanyol, sehinggakan tarikh keramat ini dirayakan pada setiap tahun sebagai 'The Aprils Fool Day'. Walaupun cerita atau kisah ini tidak dapat dipastikan kesahihannya.... namun budaya menyambut April Fool ini seolah-olah telah dapat diterima di seluruh dunia termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri. Sebagai muslim, kita hendaklah menjadikan ajaran Islam sebagai panduan supaya tidak terikut-ikut dengan sesuatu yang bukan daripada ajaran Islam, apatah lagi sesuatu yang boleh membawa kepada implikasi yang negatif. Sabda Rasulullah saw yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: "Sesiapa yang meniru sesuatu kaum (golongan), dia termasuk dalam kalangan mereka". Mereka yang menyambut April Fool ini sanggup berbuat apa sahaja termasuk menipu dan sebagainya semata-mata untuk menghidupkan budaya ini. Ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menipu, mengaibkan orang dan sebagainya merupakan perkara dosa yang hanya boleh merenggangkan dan memutuskan hubungan sesama manusia. Walaupun kadang-kadang ia hanyalah sekadar untuk bergurau, namun gurauan itu pun ada had dan batasnya. Gurauan memang merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Hidup dirasakan bertambah ceria dan bererti apabila terdapatnya gurauan yang menyenangkan hati dan perasaan. Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan dengan secara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperoleh, sebaliknya kekusutan, dendam dan pelbagai perkara negatif lain yang akan hadir dalam kehidupan. Justeru, seseorang yang hendak bergurau, hendaklah memelihara adab-adab gurauan agar gurauan tersebut berlaku dalam suasana kasih sayang dan keceriaan dan tidak menyebabkan berlakunya permusuhan dan dendam. Itulah indahnya Islam!. Sehubungan dengan itu, hindarkanlah daripada gurauan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, menghina orang lain, memperlekehkan seseorang, menggelarkan orang lain dengan sesuatu gelaran yang tidak disukainya, apatah lagi apabila mereka-reka cerita dan berbohong dalam bergurau.

Cara Hidup Remaja Kini :)



Remaja....remaja...remaja...:)




Remaja nak enjoy je...(sbb aku pun remaja).....mane boleh ditegur...mane boleh dipaksa.....:)
itu kehidupan kami.....
Tetapi tiap2 hari mencari ketenangan.....jadi enjoylah....enjoy mungkin dapat ketenangan


Kalau bagi remaja kini .....enjoy= clubbing, boling, lepak kat Mall, drinking, rempiit...=duit habis :(


???? (x tenang pon)


rupe2 nye ade enjoy yg x keluarkan 1 sen pun, x penat pon, .....hahaha...tenang sampai bile2.....sampai ke tua.... enjoy pe tue???


..............,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,---taqarrub ilallah (dekatkan diri pada Allah)---,,,,,,,,,,,...................

Allah wujud


Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

Kisah Manusia, Malaikat dan Syaitan


Manusia - Eh, dah subuh dah?
Malaikat - bangunlah wahai anak Adam, tunaikan solat subuh mu .....
Syaitan - Alahhhhhh, kejaplah, ngantuk ini...awal lagi nie?.zzzzzzzz

Manusia - Nak makan, laparlah ??
Malaikat - Wahai Anak Adam, mulakanlah dengan Bismillah... ..
Syaitan - Ahh, tak payahla... dah lapar ini !! mmm..sedapnyaaaa? .....
Manusia - Hari ni nak pakai apa ye?
Malaikat - Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat..
Syaitan - Ehh, panaslah, takde style langsung, nampak kampung!!!

Manusia - Alamak, dah lewat!
Malaikat - Bersegeralah wahai manusia , nanti terlewat ke pejabat..
Syaitan - Ahhh?awal lagi?mmm..aaahh? suruh si X, punchkanlah?
Manusia - Azan sudah kedengaran.. .....
Malaikat - Wahai anak Adam, bersegeralah menunaikan kewajipan
Syaitan - Baru pukul berapa.. rilex lah..awal lagi nieii?.
Manusia - Eh, eh... tak boleh tengok ini, berdosa...
Malaikat - Wahai anak Adam, alihkanlah pandanganmu, sesungguhnya Allah Maha Melihat dan mengetahui !
Syaitan - Perggghh... best tu... . rugi ooo kalau tak tengok nie..
Manusia - Saudaraku sedang melakukan dosa
Malaikat - Wahai anak Adam, cegahla ia..
Syaitan - Apa kau sibuk? Jangan jaga tepi kain orang, lantaklahh? ...
Manusia - Elok kalau aku sampaikan nasihat ini kepada orang lain
Malaikat - Wahai anak Adam, nasihat-menasihatil ah sesama kamu..
Syaitan - Sendiri pikirlah, semua dah besar, buat apa susah2... pandai2lah?
Manusia - aku telah berdosa..
Malaikat - Wahai anak Adam, bertaubatlah kamu,sesungguhnya Allah Maha Pengampun. .
Syaitan - Tangguhlah dulu, lain kali boleh bertaubat... lagipun muda hanya sekali....rugila. ...... (kalau sempatla)
Manusia - Kalau pergi, mesti seronok!
Malaikat - Wahai anak Adam, kakimu ingin melangkah ke jalan yang dimurkai Allah, berpalinglah dari jalan itu .....
Syaitan - Jangan bimbang, tiada sesiapa yang tahu...Jomlahhh?
Manusia - Uuhhh?letihnya arini..tak solat lagi nieee?.
Malaikat - Wahai anak Adam, taatilah Allah dan RasulNYA, kebahagiaan di dunia dan akhirat untukmu. Solat itu wajib bagimu...
Syaitan - Hey anak Adam, ikutilah aku,kebahagiaan di dunia (sahaja) dan kebahagiaan diakhirat (jangan mimpilah!) untukmu....

AKHLAK MULIA

Saidina Ali k.w. telah berkata, "Akhlak mulia terdapat 10 perkara:


-Memiliki akal yang sempurna
-Taat dalam menjalankan ajaran Allah SWT
-Memiliki ilmu
-Sopan santun
-Pemurah
-Memberi manfaat kepada orang lain
-Suka berbuat baik
-Sabar
-Bersyukur kepada Allah SWT
-Lemah lembut dalam tindak tanduknya